ALOR SETAR: Jabatan Imigresen (JIM) menahan seramai 630 warga asing dalam operasi besar-besaran di sebuah tapak pembinaan kilang bateri kereta di Padang Meha, Kulim, semalam.

Mereka terdiri daripada 396 warga China, Bangladesh (199), Pakistan (10), Myanmar (tujuh), India (lima), Ghana (empat), Nigeria (tiga), Kenya (dua), Indonesia (dua) serta masing-masing seorang warga New Zealand dan Senegal.

Kesemua mereka berusia antara 18 hingga 50 tahun ditahan selepas penguatkuasa JIM memeriksa 697 individu dalam Ops Mega yang bermula kira-kira pukul 11 pagi, semalam.

Antara yang mencuri perhatian ialah penahanan warga Nigeria, Kenya, Ghana, Senegal dan New Zealand yang jarang ditemui bekerja di tapak pembinaan, selain seorang warga China yang memiliki pasport rasmi dan statusnya masih disiasat.