ALOR SETAR: Pendidikan dan kesedaran mengenai pelaburan perlu diperkukuh bagi membantu pelabur membuat keputusan bermaklumat serta mengelak daripada menjadi mangsa penipuan pelaburan dalam talian.

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Bhd, Datuk Fad'l Mohamed, berkata kemudahan mendapatkan maklumat menerusi media sosial, aplikasi mudah alih dan platform digital perlu disertai keupayaan menilai kesahihannya.

Katanya, pelabur juga perlu memahami risiko dan mampu mengenal pasti tawaran pelaburan yang meragukan.

"Pelabur berpengetahuan lebih bersedia untuk mengemukakan soalan yang tepat, mengenal pasti tanda-tanda amaran dan membuat keputusan berdasarkan fakta, bukannya dipengaruhi dakwaan atau spekulasi," katanya.