Kuala Lumpur: Sebanyak 21 stesen di seluruh negara merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat jam 1.40 tengah hari ini, dengan Pasir Gudang, Johor, mencatatkan bacaan tertinggi, iaitu 179.

Berdasarkan data terkini Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), turut berada pada tahap sama ialah Larkin yang mencatatkan bacaan 176 dan Kota Tinggi, Johor (167).

Selain itu, Sri Aman, Sarawak, merekodkan 166, Pengerang (165), manakala Batu Pahat, Johor, dan Balok Baru, Kuantan, Pahang, masing-masing mencatatkan bacaan 161.

Situasi sama turut melanda Bandaraya Melaka, Melaka, yang mencatatkan bacaan 160, Bukit Rambai (159), Rompin, Pahang (158) dan Tawau, Sabah, serta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian, masing-masing 155.