JOHOR BAHRU: Operasi Pembenihan Awan (OPA) dilaksanakan di sekitar Johor Bahru, hari ini bagi membantu menghasilkan hujan dan mengurangkan kesan jerebu yang dijangka berterusan dalam tempoh dua hingga tiga hari lagi.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip, berkata operasi itu dilaksanakan selepas keadaan jerebu di Johor memenuhi prosedur ditetapkan, selain keadaan cuaca semasa yang sesuai untuk proses pembenihan awan.
Beliau berkata, Johor pada asalnya tidak termasuk dalam perancangan OPA minggu ini yang memberi tumpuan kepada kawasan utara Semenanjung, namun operasi berkenaan dilaksanakan susulan keadaan jerebu semasa.
"Berdasarkan prosedur berkaitan jerebu, OPA boleh dilaksanakan apabila bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) melebihi 150 selama tiga hari berturut-turut, tertakluk kepada keadaan cuaca bersesuaian," katanya pada sidang media selepas menghadiri Forum Iklim Kebangsaan 2026 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini hari ini.










