KUALA LUMPUR: BMI mengekalkan unjuran defisit fiskal Malaysia akan menyusut kepada 3.4 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 2027 berbanding anggaran 3.6 peratus pada 2026.

Unit Fitch Solutions itu menjangkakan kerajaan mampu mencapai sasaran hasil RM380.8 bilion pada 2027, meningkat 4.7 peratus berbanding sasaran 2026 yang disemak naik kepada RM363.3 bilion.

"Kami menjangkakan kutipan hasil akan mendapat manfaat daripada prospek pertumbuhan ekonomi yang menggalakkan.

"Kementerian Kewangan telah menyemak naik unjuran pertumbuhan ekonomi bagi 2026 kepada 4.8 hingga 5.3 peratus (BMI: 5.1 peratus) daripada 4.0 hingga 5.0 peratus sebelum ini. Pertumbuhan dijangka sederhana kepada 4.2 hingga 5.2 peratus pada 2027 (BMI: 4.5 peratus)," menurut BMI dalam satu kenyataan.