KOTA KINABALU: Penurunan berterusan defisit fiskal negara serta peningkatan peruntukan pembangunan untuk Sabah dan Sarawak membuktikan Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim komited menjaga kepentingan generasi akan datang.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah, Datuk Mustapha Sakmud, berkata defisit fiskal negara berjaya dikurangkan daripada 5.0 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2023 kepada 4.1 peratus pada 2024 dan 3.7 peratus pada 2025, hasil pelaksanaan disiplin fiskal yang konsisten.
Beliau berkata, defisit itu diunjurkan terus menurun kepada 3.6 peratus tahun ini dan 3.3 peratus pada 2027, berbanding 6.4 peratus pada 2021 dan 5.5 peratus pada 2022.









