MELAKA: Dua individu termasuk ibu tunggal didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini atas tuduhan memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kemalangan dan kematian dua lelaki.
Tertuduh, Lee Inn Lam, 69, dan ibu tunggal, Chan Chooi Lan, 53, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sebaik tuduhan masing-masing dibacakan berasingan di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman.
Inn Lam didakwa memandu kereta secara berbahaya di atas jalan raya hingga menyebabkan kemalangan dan kematian Muhamad Helmi Razali, 29, di simpang tiga Jalan Tanjung Minyak, di sini, jam 1 tengah hari, 15 Mei lalu.
Chooi Lan pula didakwa dengan tuduhan sama, hingga menyebabkan kemalangan dan kematian Ajmal Mat Ali, 37, di Jalan Cheng Perdana 1, di sini, kira-kira jam 7.25 malam, 9 Julai 2025.








