JAKARTA: AirBorneo Airways milik Sarawak merancang melancarkan penerbangan terus antara Kuching dengan Jakarta pada bulan ini sebagai laluan antarabangsa keduanya, dengan memanfaatkan pasaran sedia ada sekitar 100,000 penumpang setahun.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Megat Ardian Wira Mohd Aminuddin, berkata syarikat penerbangan itu menyasarkan untuk menarik penumpang yang kini menggunakan perkhidmatan sedia ada, selain memperluas permintaan menerusi penambahan kapasiti dan pilihan perjalanan premium termasuk kelas perniagaan.
"Jadi, dengan lebih banyak kapasiti dalam pasaran, terdapat juga pemain yang menawarkan produk perkhidmatan penuh. Oleh itu, terdapat segmen pasaran kelas perniagaan yang mungkin berminat untuk terbang bersama AirBorneo," katanya pada sesi meja bulat bersama media di sini pada Jumaat.








