KUANTAN: Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) akan memberikan kerjasama penuh kepada polis dalam siasatan kematian seorang pelajar di Jalan Air Putih di sini, semalam.
JPPKK dalam kenyataannya berkata, JPPKK dan Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) akan memberikan kerjasama penuh untuk membantu siasatan dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi menjalankan siasatan secara terperinci.
"Kami menggesa semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih serta menghormati privasi keluarga mendiang dalam waktu sukar ini," katanya.
Kenyataan itu berkata, JPPKK dan POLISAS akan terus memberikan sokongan serta bantuan diperlukan kepada keluarga mendiang.









