KUANTAN: Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bukan sekadar slogan, malah terbukti mampu memberi manfaat besar apabila pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kelab motosikal dan organisasi komuniti berganding bahu membantu golongan memerlukan.
Buktinya, lebih 70 peserta bersama 55 motosikal berkuasa tinggi daripada Persatuan Superbikers Malaysia (SAM) Johor dan Dragon Bikers menjayakan program CSR di Sekolah Tahfiz Pondok Riadussolihin di sini, semalam.
Ketibaan konvoi diketuai Presiden SAM Malaysia, Senator Datuk Abdul Halim Suleiman yang juga ketua program CSR tersebut disambut oleh Penaung Kelab Motosikal Berkuasa Tinggi Daz Bikers, Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir.
Dalam program itu, sumbangan ikhlas berupa wang tunai berjumlah RM17,152, satu set sistem siaraya (PA), 10 unit lampu solar dan hampir 300 kitab pelbagai tajuk diserahkan kepada mudir pusat tahfiz Pondok Riadussolihin.








