Putrajaya: Mahkamah Rayuan hari ini menangguhkan keputusan berhubung rayuan Wan Muhammad Azri Wan Deris terhadap perintah Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman 30 hari penjara ke atas pemblog itu kerana menghina mahkamah dalam kes saman fitnah difailkan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain @ Abd Rasid.

Datuk Azizul Azmi Adnan, yang mempengerusikan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, menetapkan 29 Oktober ini sebagai pengurusan kes untuk menetapkan tarikh keputusan.

Terdahulu, panel itu yang turut terdiri daripada Datuk Ong Chee Kwan dan Datuk Seri Mohd Radzi Harun mendengar hujah peguam yang mewakili Wan Muhammad Azri serta Razarudin.

Pada 27 Ogos 2025, Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong memutuskan bahawa Wan Muhammad Azri, juga dikenali sebagai Papagomo, telah melanggar perintah injunksi mahkamah berkaitan saman fitnah difailkan Razarudin yang sedang berlangsung.