Kuala Lumpur: "Saya sekadar ingin anda berfikir (keluarga BYD), atas sikap kecuaian awak memandu membabi buta, orang lain yang menjadi mangsa.
"Saya berharap mahkamah boleh beri keputusan yang adil kerana bukti rakaman kamera papan pemuka (dashcam) sangat jelas dan nyata."
Demikian luahan Nurul Akmar Yahya berhubung kemalangan yang menimpa adiknya, Ahmad Safwan Yahya dalam nahas enam kenderaan di Jalan Kuching, di sini, pada Sabtu lalu.
Kemalangan membabitkan kereta elektrik BYD, Perodua Bezza, Nissan Almera, Toyota Alphard, Perodua Myvi dan sebuah motosikal Yamaha 135LC itu turut mengorbankan kanak-kanak, Allahyarham Asiah Ahmad Syahir, 5.









