KOTA BHARU: Parti Amanah Negara (AMANAH) mengesahkan akan bertanding di lapan daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata agihan kerusi dibuat hasil perbincangan Pakatan Harapan (PH), namun kerusi mana yang akan ditandingi parti itu belum dimuktamadkan.
"Kita diberi lapan kerusi termasuk mempertahankan DUN Bukit Katil, namun perbincangan belum dimuktamadkan berhubung kerusi yang akan bertanding.
"Kita masih mempunyai masa memandangkan penamaan calon akhir bulan dan pengumuman calon PH pula akan dibuat Sabtu depan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen AMANAH Kelantan di sini, hari ini.









