JOHOR BAHRU: Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi menafikan dakwaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Indonesia, Wahana Lingkungan Hidup Indonesia (WALHI) yang mengaitkan Johor Corporation (JCorp) dengan insiden kebakaran hutan di negara berkenaan.

Beliau berkata, dakwaan itu serius memandangkan JCorp merupakan sebuah institusi pelaburan milik kerajaan negeri.

“Saya ingin tegaskan, jangan ada mana-mana pihak mengambil kesempatan memutar belit fakta sehingga menimbulkan persepsi seolah-olah JCorp terlibat dalam kejadian kebakaran hutan tersebut.

“JCorp telah menjelaskan menerusi kenyataan rasmi bahawa JCorp dan syarikat-syarikat dalam kumpulannya tidak memiliki atau mengendalikan sebarang ladang di luar Malaysia,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.