PUTRAJAYA - Kondominium dan banglo dua tingkat yang disewa hingga RM25,000 sebulan dengan kawalan keselamatan menjadi markas warga asing untuk menjalankan aktiviti pusat panggilan penipuan dalam talian.Kegiatan itu dibongkar Bahagian Penguatkuasaan Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) selama dua hari berturut-turut bermula Rabu.Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, serbuan digerakkan di empat unit kondominum di Jalan Kerinchi, Kuala Lumpur dan dua unit banglo dua tingkat di The Mines, Serdang.Menurutnya, seramai 64 warga asing yang terdiri daripada 44 warga China, Myanmar (19 orang) dan seorang Myanmar diberkas dengan rampasan beberapa peralatan antaranya 28 unit komputer riba, 81 unit telefon bimbit selain wang tunai RM51,300."Kes ini dipercayai melibatkan dua sindiket berlainan yang menyasarkan mangsa di negara masing-masing."Siasatan awal dipercayai unit kondominium itu disewa dengan harga RM5,000 sehingga RM10,000, manakala banglo terbabit mencecah RM25,000 sebulan daripada pemilik warga tempatan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya pada Khamis.Beliau berkata, ahli sindiket dikesan bekerja dari jam 10 pagi hingga 11 malam dengan tawaran gaji bulanan yang lumayan antara RM3,000 hingga RM6,000.Jelasnya, memandangkan semua urusan transaksi dilakukan sepenuhnya secara dalam talian bagi mengaburi mata pihak berkuasa, sindiket ini dianggarkan telah berjaya mengaut keuntungan haram yang mencecah sehingga RM6 juta setakat Oktober."Ahli sindiket dipercayai menerima gaji berdasarkan komisen hasil penipuan."Sindiket ini dipercayai telah aktif sejak dua bulan yang lalu dan memperolehi keuntungan berjumlah sebanyak RM100,000 sehingga RM150,000 sehari dengan menawarkan perkhidmatan yang tidak pernah wujud," ujarnya.Zakaria berkata, premis operasi itu juga dikesan menjadi tempat mereka berhibur termasuklah berkaraoke dan berjudi.Katanya, ini kerana suspek yang tiba di premis terbabit tidak dibenarkan keluar dan hanya berada di dalam kediaman itu bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa.Dedahnya lagi, ahli sindiket yang pernah beroperasi di Kemboja juga beroperasi dengan taktik berpindah-randah dari satu negara ke negara lain."Ketika diserbu, kita temui tiga pasport yang belum dicetak dan tiket penerbangan ke Jepun, Amerika Syarikat dan Korea dipercayai mereka sudah bersedia untuk meninggalkan premis," ujarnya.Tegasnya, kes masih dalam siasatan lanjut bagi mengenal pasti kewujudan sindiket pemalsuan dokumen perjalanan serta rangkaian individu yang terlibat."Usaha penguatkuasaan terus dipergiatkan secara bersepadu dan berterusan bagi membanteras penyalahgunaan kemudahan imigresen oleh warga asing yang disyaki terlibat dalam kegiatan jenayah terancang, khususnya penipuan dalam talian atau online scam," ujarnya.Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.&nb