PUTRAJAYA: Sindiket penipuan dalam talian kini sanggup berbelanja besar termasuk menyewa banglo dan kondominium mewah di lokasi strategik di Lembah Kelang bagi menjalankan aktiviti mereka.
Serbuan terbaharu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sejak semalam dan hari ini mendedahkan, sindiket itu sanggup membayar RM5,000 sebulan bagi unit kondominium dan RM25,000 bagi unit banglo.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya berjaya menyerbu empat unit kondominium dan dua banglo mewah yang dijadikan hab sindiket masing-masing terletak di Jalan Kerinchi, Kuala Lumpur dan The Mines, Seri Kembangan, Selangor.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati sindiket berkenaan memilih kediaman mewah itu kerana mempunyai kawalan keselamatan tinggi selain menawarkan privasi bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan orang awam.









