PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) meminta orang ramai supaya menyalurkan maklumat mengenai lokasi tumpuan pendatang asing tanpa izin (PATI) secara sulit kepada pihak berkuasa dan tidak mendedahkannya di media sosial sehingga menjejaskan operasi penguatkuasaan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Zakari Shaaban berkata, tindakan menghebahkan lokasi berkenaan secara terbuka boleh menyebabkan pihak yang disasarkan melarikan diri sebelum operasi dijalankan, sekali gus menyukarkan tindakan penguatkuasaan.

Menurutnya, orang ramai termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu memainkan peranan dengan bekerjasama menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa dan bukannya menjadikan pendedahan itu sebagai bahan untuk meraih populariti.