SEPANG: Livery khas yang sarat dengan identiti Malaysia bakal menghiasi jentera dan sut lumba pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli sempena Grand Prix (GP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), minggu ini.
Livery istimewa itu menampilkan gabungan elemen budaya dan warisan negara, sekali gus memberi kelainan kepada penampilan Hakim Danish ketika turun beraksi di laman sendiri dalam musim sulungnya di Kejuaraan Dunia Moto3.
Antara elemen utama yang ditampilkan ialah garis beralun yang melambangkan aliran air pantai dari negeri kelahirannya, Terengganu.
Tidak ketinggalan, bunga raya turut menjadi sebahagian daripada rekaan livery berkenaan sebagai simbol bunga kebangsaan Malaysia yang terus berkembang mekar dengan penuh kekuatan.








