PELUMBA Moto3 negara, Hakim Danish Ramli enggan terus dibayangi kekecewaan di Indonesia, sebaliknya mengalihkan tumpuan sepenuhnya kepada misi memburu mata berharga pada Grand Prix (GP) Australia di Litar Phillip Island, hujung minggu ini.

Pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi itu mahu menebus kekecewaan di GP Indonesia selepas dikenakan penalti grid yang memaksanya memulakan perlumbaan dari petak terakhir sebelum menamatkan saingan di tempat ke-14.

Keputusan positif di Australia amat penting bagi menyuntik keyakinan dan membina momentum terbaik buat pelumba berusia 19 tahun itu sebelum beraksi di hadapan penyokong sendiri pada GP Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), dari 30 Oktober hingga 1 November ini.