Kuala Lumpur: Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli bertekad membina momentum positif dengan mengumpul mata berharga di Grand Prix (GP) Australia 2026 di Litar Phillip Island di Victoria dari 23-25 Oktober ini.

Hakim Danish berkata, penting baginya menampilkan tunggangan positif sebelum membawa harapan peminat tanah air pada saingan GP Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang yang berlangsung dari 30 Oktober-1 November.

"Persiapan saya menjelang GP Australia berjalan dengan baik dan saya sangat teruja untuk berlumba di Phillip Island kerana litar ini masih baharu bagi saya.

"Saya juga tidak sabar untuk beraksi di sana kerana melihat kepada litar itu, saya rasa ia sangat menarik. Saya menantikan sesi latihan pertama pada Jumaat ini," katanya dalam kenyataan hari ini.