JOHOR BAHRU: Pasukan hoki remaja kebangsaan meneruskan rentak kemenangan dengan menewaskan Jepun 4-2 dalam aksi kedua Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 tahun Piala Sultan Johor (SOJC) di Stadium Hoki Johor, di sini malam tadi.

Pada suku pertama, Young Tigers mempamer aksi bertenaga dan memberi tekanan kepada pasukan lawan untuk memburu gol pembukaan. Peluang terbaik skuad kendalian Nor Saiful Zaini Nasiruddin hadir pada minit kelima menerusi pukulan sudut penalti namun peluang tersebut gagal disudahkan dengan baik oleh G. Dheeressh.

Malaysia yang melancarkan serangan di sayap kiri berjaya melakukan penetrasi ke dalam kotak D namun dua peluang yang dihasilkan pada penghujung suku pertama itu tidak berjaya disempurnakan oleh Faiz Afzan Mohd. Faizal dan Harieq Hadief Mohd. Fariq.