KUALA LUMPUR: Malaysia mengusulkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi Pasifik Barat (WPRO) segera merintis projek perolehan berpusat bagi ubat-ubatan terpilih bagi menangani keterjaminan ubat-ubatan di rantau ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata langkah itu amat mendesak memandangkan hampir seluruh rantau berkenaan kini mendepani cabaran kritikal akibat rantaian bekalan yang terjejas, ketidaktentuan pasaran dan kebergantungan tinggi terhadap import Bahan Farmaseutikal Aktif (API) yang diburukkan lagi oleh konflik geopolitik antarabangsa.
"Diplomasi dan solidariti serantau pada hari ini mesti diterjemahkan melangkaui sekadar ungkapan hasrat murni. Demi melindungi kelangsungan sistem kesihatan di Pasifik Barat, kita menuntut anjakan tindakan yang strategik, berani dan berpaksikan hasil nyata yang boleh diukur," katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.








