KUALA LUMPUR: Kerajaan terbuka untuk mempertimbang cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sekiranya terdapat keperluan berbuat demikian.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata ia termasuklah sekiranya terdapat maklumat, bukti atau dapatan kukuh yang menunjukkan wujud keperluan untuk suatu siasatan awam bersifat menyeluruh dan bebas.
Beliau berkata kerajaan akan terus memastikan sebarang isu berkaitan pengurusan dana awam, termasuk aspek tadbir urus dan keputusan pelaburan, diteliti berdasarkan fakta dan bukti serta melalui mekanisme pengawasan sewajarnya.






