JAKARTA – Seramai 11 mangsa dibawa ke hospital selepas sebuah feri penumpang membawa 460 orang terbakar di luar pantai Jawa semalam, memaksa semua penumpang dan anak kapal dipindahkan, lapor laman berita newswav hari ini.
Feri KMP Batumandi sedang menghampiri Pelabuhan Merak di Cilegon, wilayah Banten apabila asap kelihatan di bahagian belakangnya, kira-kira pukul 4.15 petang (waktu tempatan), demikian menurut beberapa laporan.
Feri berlepas dari Pelabuhan Bakauheni kira-kira pukul 2.52 petang itu membawa 420 penumpang dan 40 anak kapal apabila insiden berlaku.
Rakaman tular di internet menunjukkan api menyelubungi kapal berkenaan ketika penumpang bersiap sedia untuk dipindahkan.









