KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas empat pertuduhan menipu seorang individu yang juga ahli perniagaan bergelar Datuk Seri membabitkan kerugian bernilai lebih RM10 juta, tahun lalu.

Tertuduh, Tan Sri Tan Kean Soon, 62, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan itu dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azrul Darus.

Mengikut semua pertuduhan, tertuduh didakwa menipu dan memperdaya Datuk Seri Keh Chuan Seng, 55, untuk menyerahkan wang tunai RM5.5 juta dan SGD 1.5 juta (kira-kira RM4.8 juta) kepada tertuduh melalui rakan mangsa, Chiau Beng Teik.

Kean Soon didakwa memperdayakan mangsa supaya mempercayai bahawa tertuduh boleh membantu menyelesaikan masalah akaun bank peribadi dan syarikat mangsa yang dibekukan oleh pihak polis, serta menyelesaikan kes siasatan polis berkait pengubahan wang haram (AMLA).