Kuala Lumpur: Seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas empat pertuduhan menipu ahli perniagaan bergelar Datuk Seri membabitkan RM10 juta, tahun lalu.

Tan Sri Tan Kean Soon, 62, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus.

Berdasarkan semua pertuduhan, tertuduh didakwa menipu dan memperdaya Datuk Seri Keh Chuan Seng, 55, untuk menyerahkan wang tunai RM5.5 juta dan SG$1.5 juta kepada tertuduh melalui rakan mangsa.

Tan didakwa memperdaya mangsa supaya mempercayai bahawa tertuduh boleh membantu menyelesaikan masalah akaun bank peribadi dan syarikat mangsa yang dibekukan oleh pihak polis serta menyelesaikan kes siasatan polis berkaitan pengubahan wang haram (AMLA).