PUTRAJAYA - Sepuluh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan telah memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan bagi mencabar keputusan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan membatalkan pelantikan mereka bulan lepas.Mereka ialah Datuk Mohd Faizal Ramli, Datuk Zaifulbahri Idris, Mustapha Nagoor, Siow Kong Choon, Siti Nur Umaira Hasim, Datuk Mohd Asna Amin, Datuk Mohd Razi Mohd Ali, Suhaimizan Bizar, Datuk Mohd Fairuz Mohd Isa dan Datuk Razali Abu Samah.Kesemua mereka menamakan Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan dan Kerajaan Negeri Sembilan sebagai responden.Notis usul itu difailkan pada 14 Oktober lepas menerusi firma guaman Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak.Menerusi notis usul berkenaan, kesemua Exco itu memohon Mahkamah Persekutuan memutuskan tiga persoalan undang-undang berhubung kesan dan tafsiran peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 yang berbangkit daripada saman pemula yang difailkan mereka di Mahkamah Tinggi Seremban.Pada 5 Oktober lepas, mereka memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Seremban bagi mencabar kesahihan warta pembatalan pelantikan mereka sebagai Exco Kerajaan Negeri Sembilan.Menerusi saman pemula tersebut, kesemua 10 individu berkenaan membangkitkan beberapa persoalan berkaitan perlembagaan negeri itu.Antara persoalan yang dibangkitkan ialah sama ada Perkara 38(5) apabila dibaca bersama Perkara 38(2), 38(3), 38(4), 40(1), 40(1A) dan 40(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan membenarkan Yang di-Pertuan Besar membatalkan pelantikan seseorang Exco tanpa nasihat Menteri Besar.Sekiranya jawapan kepada persoalan itu adalah negatif, mereka memohon penentuan sama ada pembatalan pelantikan Exco seperti diwartakan pada 24 September lepas dibuat mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan dan sama ada pembatalan itu terbatal, tidak sah serta tidak mempunyai kuat kuasa.Satu lagi persoalan ialah sama ada Perkara 38(5), apabila dibaca bersama Perkara 28(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, membawa maksud bahawa istilah "Raja Pemerintah" merujuk kepada Yang di-Pertuan Besar yang mempunyai kuasa untuk membatalkan pelantikan seseorang Exco atas perkenan baginda sendiri tanpa nasihat Menteri Besar.Sekiranya jawapan kepada persoalan itu adalah negatif, sama ada pemecatan mereka bertentangan dengan perlembagaan negeri.Pada 20 September lepas, istana Negeri Sembilan mengumumkan bahawa Yang di-Pertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir telah membatalkan pelantikan kesemua Exco berkenaan berkuat kuasa serta-merta.Pembatalan pelantikan mereka diwartakan pada 24 Sept lepas, dengan pemecatan itu berkuat kuasa mulai 20 September.Menurut warta berkenaan, pelantikan mereka dibatalkan dan diisytiharkan tidak sah kerana melanggar sumpah taat setia kepada Tuanku Muhriz apabila mereka bersetuju untuk melucutkan baginda daripada jawatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.Pengurusan kes dijadualkan berlangsung di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan hari ini. - Bern