Kuala Lumpur: Isi rumah yang sebelum ini berada dalam kumpulan berpendapatan sederhana (M40) boleh mengemas kini maklumat dan memohon semakan semula kelayakan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) jika kehilangan pekerjaan atau mengalami pengurangan pendapatan.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, kemudahan itu membolehkan perubahan pendapatan isi rumah diambil kira, namun bukan bermakna semua isi rumah M40 layak menerima STR secara automatik.
"Bagi pemberian STR, jika isi rumah M40 mengalami kehilangan pekerjaan atau pengurangan pendapatan, kerajaan menyediakan mekanisme pengemaskinian maklumat dan semakan semula atau rayuan bagi membolehkan perubahan pendapatan isi rumah diambil kira dalam penentuan kelayakan," katanya kepada Kumpulan Media Prima.









