Petaling Jaya : Penyanyi dan pengubah lagu Noh Salleh terinspirasi dengan kerjasama muzik berterusan antara komposer merangkap pemuzik, Aubrey Suwito dan Biduanita negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, yang kekal bekerjasama selama hampir tiga dekad.

Noh, 41, berasa bertuah dapat bekerjasama dengan dua tokoh muzik terkemuka itu, walaupun kadangkala berasa kerdil dengan peluang yang diberikan.

Vokalis kumpulan Hujan itu mendedahkan bahawa Aubrey sendiri yang mendekatinya untuk sama-sama menjayakan konsert akan datang, satu jemputan yang dianggapnya sebagai penghormatan cukup besar.

"Pendekatan Aubrey untuk konsert ini adalah salah satu penghormatan tertinggi yang saya rasakan pernah saya terima," katanya pada sidang media sempena konsert Cadenza of the Soul: Noh Salleh with Aubrey Suwito Orchestra.