Kuala Lumpur: Pelakon, Ruhainies meluahkan rasa terkilan apabila segelintir netizen tergamak mengubah nama pemberian ibu bapanya kepada gelaran yang tidak wajar iaitu 'Ruhanat'.
Ruhainies atau nama sebenarnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 34, berkata perbuatan tidak bertanggungjawab itu dikesan berlarutan sejak tiga tahun lalu, namun dia tidak tahu individu yang mula mencetuskan perkara itu.
"Mereka mengubah nama saya kepada gelaran 'Ruhanat'. Ibu bapa saya memberikan nama yang baik dan mempunyai maksud yang baik.
"Saya belum kenal pasti siapa pemula beri gelaran itu, tetapi netizen lain terus mengikutnya sehingga kini dan sudah tiga tahun berlarutan," katanya kepada Harian Metro.









