Kuala Lumpur: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, mengarahkan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menarik balik kenyataan kontroversinya yang menggunakan perkataan 'munafik' selewat-lewatnya esok.

Johari berkata, keputusan itu dibuat selepas beliau meneliti penyata rasmi persidangan (Hansard) dan Takiyuddin boleh menarik balik kenyataan berkenaan sama ada di dalam Dewan Rakyat atau melalui surat bertulis kepadanya.

"Saya sudah membaca Hansard dan ini keputusan saya, saya minta Kota Bharu menarik balik perkataan yang diucapkannya selewat-lewatnya esok," katanya.

Beliau berkata demikian selepas RSN Rayer (PH-Jelutong) membangkitkan peraturan mesyuarat berhubung penggunaan perkataan 'munafik' oleh Takiyuddin ketika membahaskan Belanjawan 2027.