Tawau: Mahkamah Tinggi hari ini menjatuhkan hukuman penjara maksimum 40 tahun terhadap lelaki warga Indonesia selepas didapati bersalah membunuh seorang pekerja di Ladang Tiger, Sime Darby Plantation, tiga tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Steve Ritikos menjatuhkan hukuman itu terhadap Lipus Linus, 53, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan di akhir kes pembelaan.

Lipus didapati bersalah membunuh Herman Muhtar, 33, yang juga warga Indonesia dan bekerja sebagai buruh di ladang itu.

Mengikut pertuduhan, Lipus didakwa membunuh Herman di Ladang Tiger, Sime Darby Plantation, daerah Tawau, antara jam 11.25 pagi hingga 12.30 tengah hari pada 19 Julai 2023.