Batang Kali: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang dijalankan bagi mengesan dua pendaki yang dihanyutkan arus deras ketika mandi di Air Terjun Lubuk Tupai, Kampung Hulu Rening, di sini, hari ini.
Mereka adalah sebahagian daripada kumpulan enam individu yang melakukan aktiviti mendaki di kawasan berkenaan sebelum kejadian, dipercayai pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.13 tengah hari.
"Maklumat awal mendapati enam individu sedang melakukan aktiviti mendaki di kawasan berkenaan sebelum dua daripada mereka masuk ke sungai untuk mandi. Kedua-duanya dihanyutkan arus deras dan dilaporkan tenggelam," katanya.








