KUALA LUMPUR: Rekaan topi keledar pintar yang mampu mengesan risiko sebelum kemalangan membawa pasukan Thunderbolt dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) muncul juara kebangsaan Shell Selamat Sampai Varsity Challenge 2026.
Shell Malaysia dalam satu kenyataan berkata, pertandingan bertemakan Innovate! Captivate! Save Lives! itu membuka penyertaan kepada pelajar universiti dan kolej bagi menghasilkan penyelesaian keselamatan jalan raya menggunakan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Pasukan Thunderbolt dianggotai Zakwan Faizuddin Aziz, Aqil Faris Fauzi, Muhammad Hadef Iman Nor Yahyuddin, Rubini Nair Rama Chandran dan Wan Mohammad Zaman Az Zuhri Zainuddin.
Mereka membangunkan Helmet for Emergency Response and Obstacle-Sensing atau HERO Smart Helmet, iaitu sistem keselamatan motosikal bersepadu yang direka untuk mengesan risiko lebih awal, memberi amaran kepada penunggang dan mempercepat tindak balas kecemasan.









