KUALA LUMPUR: Pengarah unit sebuah agensi kerajaan direman enam hari bermula hari ini, kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM30 juta daripada beberapa syarikat.
Wang suapan itu dipercayai sebagai balasan bagi membantu syarikat terbabit mengurangkan bayaran cukai taksiran yang keseluruhannya berjumlah RM140 juta.
Perintah reman sehingga 26 Oktober itu dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan permohonan di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.
Suspek lelaki berusia 50-an terbabit dilaporkan ditahan pada 2.30 tengah malam tadi ketika bersembunyi di sebuah hotel di Lembah Klang.










