KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata kerajaan komited memastikan industri rel negara dibangunkan secara menyeluruh di peringkat tempatan.

Loke berkata, ia supaya pelaburan besar pembangunan infrastruktur pengangkutan bukan saja meningkatkan jaringan rel, malah merancakkan pertumbuhan industri sokongan dan membina keupayaan syarikat tempatan.

Beliau berkata, peruntukan pembangunan bagi kementerian itu sebahagian besarnya adalah bagi sektor rel, yang antaranya digunakan bagi pembangunan landasan dan pembelian komponen serta tren.

Katanya, sebagai contoh, pembinaan projek rel berskala besar seperti landasan berkembar Gemas-Johor Bahru menelan kos RM10 bilion, Projek Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa Dua (RM5 bilion) dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) (RM50 bilion).