SUBANG: Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) meletakkan sasaran awal sekurang-kurangnya enam pingat emas pada Sukan SEA 2027 yang akan berlangsung di Malaysia dari 18 hingga 29 September tahun depan.

Sasaran itu dilihat realistik berdasarkan pencapaian skuad karate negara ketika kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah temasya dwitahunan itu pada 2017, apabila meraih tujuh emas, dua perak dan empat gangsa daripada 16 acara dipertandingkan.

Presidennya, Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, pihaknya menjangkakan sebanyak 18 kategori bakal dipertandingkan pada edisi tahun depan, namun pengesahan rasmi hanya akan diketahui selepas mesyuarat bersama 11 presiden negara ASEAN di Kuala Lumpur pada 10 November ini.