BARCELONA: Barcelona mengemukakan aduan kepada Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) berhubung tifo yang dipamerkan penyokong Paris Saint-Germain (PSG) sebelum perlawanan Liga Juara-Juara antara kedua-dua pasukan, kata kelab itu, hari ini.
Menjelang pertembungan Liga Juara-Juara di Parc des Princes, awal pagi tadi, penyokong PSG membentangkan sepanduk besar yang memaparkan tulisan 'pembunuhan beramai-ramai gaya Paris', dengan imej seorang individu bertopeng memakai jersi PSG menghayun gergaji rantai ke arah lencana Barcelona.
Paparan itu seakan merujuk kepada filem seram 1974, The Texas Chain Saw Massacre.
Jurucakap Barcelona memberitahu Reuters bahawa selepas perlawanan berakhir, pihaknya mengemukakan aduan kepada pegawai perlawanan UEFA berhubung kandungan tifo berkenaan, selain beberapa nyanyian berunsur menghina yang kedengaran dari tempat duduk penonton.









