Kuala Lumpur: Sekretariat Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC) menyasarkan kutipan penajaan sebanyak RM200 juta bagi penganjuran Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN (APG) 2027 di negara ini, tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif MASOC Datuk Abdul Rashid Yaakub berkata pihaknya setakat ini telah memperoleh penajaan dianggarkan RM40 juta hingga RM50 juta, merangkumi penajaan tunai dan barangan.

"Lebih kurang RM100 juta penajaan diperoleh bagi edisi Kuala Lumpur 2017 termasuk tunai dan juga barangan. Jika boleh untuk edisi 2027 kita mahu dapat RM200 juta.

"Kita akan usaha ke arah (penajaan) melebihi RM100 juta dan berdasarkan trend sekarang, saya rasa Insya-Allah (capai sasaran)," katanya ketika ditemu bual Bernama baru-baru ini.