SANDAKAN - Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara setahun dan denda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah memiliki 120 biji telur penyu yang merupakan spesies haiwan dilindungi sepenuhnya di Sabah.Tertuduh, Jumadil Jamil, 44, yang bekerja sendiri, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Khushairy Ibrahim.Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati memiliki 120 biji telur Penyu Hijau (Chelonia mydas) di kawasan tempat letak kenderaan berhadapan sebuah restoran di Kota Kinabatangan pada jam 8.06 malam, 4 Julai 2025.Penyu Hijau merupakan spesies haiwan yang dilindungi sepenuhnya dan disenaraikan di bawah Jadual 1, Bahagian 1, Nombor 8 Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.Sehubungan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Subseksyen 41(1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 41(4)(a) enakmen sama.Peruntukan itu membawa hukuman denda tidak kurang RM50,000 dan tidak melebihi RM250,000 serta penjara minimum setahun dan maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan.Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara enam bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda yang dikenakan.Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Hidupan Liar (JHL), Primus Lambut, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.