SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan diseru mengambil langkah lebih tegas dan sistematik bagi melindungi kawasan pendaratan penyu di Tanjung Gemuk, Port Dickson, termasuk mempertimbangkan pewartaan Zon Perlindungan Pendaratan Penyu Tanjung Gemuk.

Ia susulan kejadian telur penyu karah yang dilaporkan dicuri dari sarangnya di pantai berkenaan, baru-baru ini.

Aktivis Pemuliharaan Marin Malaysia, Noor Fadzli Shah, berkata langkah itu wajar dilaksanakan susulan kepentingan Tanjung Gemuk sebagai lokasi pendaratan dan tempat penyu bertelur serta keperluan memastikan telur haiwan itu mendapat perlindungan sewajarnya.

Menurut beliau, kewujudan penyu yang mendarat di pantai Port Dickson adalah satu petunjuk bahawa pesisir pantai berkenaan mempunyai nilai biodiversiti yang perlu dipelihara, dan tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai kawasan rekreasi dan pelancongan.