sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Impian Giancarlo Gallifuoco untuk menyarung jersi Harimau Malaya masih dalam proses apabila pemain pertahanan itu memaklumkan beberapa kelulusan perlu diperoleh sebelum langkah seterusnya bagi mendapatkan kewarganegaraan Malaysia dapat diteruskan.

Pemain Kuala Lumpur City FC (KL City) itu berkata, peguamnya kini sedang berhubung dengan pihak kelab yang mengambil tindakan sewajarnya bagi menggerakkan proses naturalisasi berkenaan.

"Peguam saya sedang berhubung dengan KL City FC, yang kini mengambil langkah diperlukan untuk bergerak ke hadapan. Saya percaya kami sedang menunggu beberapa kelulusan daripada FAM dan selepas semuanya selesai, kami berharap dapat meneruskan langkah seterusnya untuk proses naturalisasi," katanya.