SEREMBAN – Aturan dan adat Negeri Sembilan sejak zaman purbakala bukan sekadar tinggalan sejarah, sebaliknya terus mempunyai tempat dalam kerangka perlembagaan negeri menerusi Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS).

Perkara itu antara asas diketengahkan Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin dalam kenyataan rasmi hari ini bagi menjelaskan kedudukan serta peranan institusi Pembesar Memerintah dalam sistem pemerintahan unik Negeri Sembilan.

Menurut kenyataan berkenaan, Perkara 32 UUTKNS memperuntukkan bahawa aturan dan adat Negeri Sembilan zaman purbakala yang tidak bercanggah dengan bahagian berkenaan terus berjalan seperti dahulu.

Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin dalam kenyataan itu mengaitkan prinsip tersebut dengan Perjanjian 29 April 1898, yang menurut mereka membentuk struktur asas hubungan antara Yang di-Pertuan Besar dengan Undang Yang Empat.