KUALA LUMPUR – Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menepati ramalan apabila menundukkan juara Terbuka Artik, Aaron Tai-Yap Roy King untuk menempah tiket ke suku akhir Terbuka Denmark di Odense, hari ini.
Kemenangan 21-18, 21-11 dalam tempoh 33 minit itu menyaksikan bekas juara dunia berkenaan mengekang cabaran Aaron Tai-Roy King yang hadir dengan keyakinan selepas menjuarai Terbuka Artik di Finland, Ahad lalu.
Meskipun diuji pada set pertama, Aaron-Wooi Yik menggunakan pengalaman untuk mengawal permainan sebelum meningkatkan tekanan pada set kedua bagi menamatkan perlawanan dengan kemenangan meyakinkan.
Kejayaan itu turut mengukuhkan kedudukan Aaron-Wooi Yik sebagai antara sandaran utama negara dalam acara beregu lelaki, selain menghidupkan peluang mereka untuk memburu gelaran di kejohanan berkenaan.









