Melaka: Penyambut tetamu hotel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, atas pertuduhan mencuri sehelai skort (skirt berseluar pendek) milik sebuah butik di sebuah pusat beli-belah di sini, pada Isnin lalu.
Tertuduh, Nurul Husna Zubaidi, 33, membuat pengakuan itu dan minta dibicarakan atas pertuduhan berkenaan dalam prosiding di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan niat curang mencuri sehelai skort wanita berwarna hitam bersaiz L, jenama PDI Active Wear bernilai RM29 milik butik Padini, di AEON Bandaraya Melaka, pada 12 Oktober lalu, jam 3.11 petang.
Pertuduhan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan bagi kesalahan kedua atau kemudiannya hendaklah diseksa dengan penjara dan boleh juga dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.









