KUALA LUMPUR: Sekolah-sekolah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang dan Pulau Pinang akan beroperasi seperti biasa esok, namun aktiviti luar bilik darjah ditangguhkan susulan jerebu.

Di KUALA LUMPUR, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur memaklumkan semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) akan beroperasi secara bersemuka seperti biasa, namun semua aktiviti luar bilik darjah ditangguhkan.

Bagi PUTRAJAYA, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya memaklumkan murid yang hadir ke sekolah digalakkan memakai pelitup muka.

Di SELANGOR, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) pula meminta pihak pentadbir sekolah sentiasa memantau bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) daripada Jabatan Alam Sekitar serta memberikan perhatian khusus kepada murid berisiko tinggi.