KUALA LUMPUR: Bagi setiap RM1 tambahan pendapatan yang diterima isi rumah tahun depan, kira-kira 73 sen dijangka dibelanjakan semula, sekali gus membantu merancakkan penggunaan domestik dan menyokong pertumbuhan ekonomi negara, menurut penganalisis.

Anggaran itu berdasarkan unjuran CIMB Treasury and Markets Research bahawa langkah peningkatan gaji, pelepasan cukai dan bantuan kewangan menerusi Belanjawan 2027 mampu menambah pendapatan serta sokongan kepada isi rumah sebanyak RM11.5 bilion, dengan kira-kira RM8.4 bilion daripadanya dijangka disalurkan kepada perbelanjaan pengguna.

Ia menganggarkan langkah berkenaan mampu meningkatkan pertumbuhan penggunaan swasta sebanyak 0.5 mata peratusan, manakala pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka meningkat 0.2 mata peratusan.