Murid disaran memakai pelitup muka, khasnya yang mengalami gejala pernafasan atau kumpulan risiko. (Gambar Bernama)KUALA LUMPUR: Sekolah di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang dan Pulau Pinang akan beroperasi seperti biasa esok, namun aktiviti luar bilik darjah ditangguhkan susulan jerebu.
Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur memaklumkan semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) akan beroperasi secara bersemuka seperti biasa, namun semua aktiviti luar bilik darjah ditangguhkan.
Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya memaklumkan murid yang hadir ke sekolah digalakkan memakai pelitup muka.
Di Selangor, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) pula meminta pentadbir sekolah sentiasa memantau bacaan indeks pencemaran udara (IPU) daripada Jabatan Alam Sekitar serta memberikan perhatian khusus kepada murid berisiko tinggi.








