Kuala Lumpur: Kemaraan ke separuh akhir Terbuka Artik menjadi suntikan keyakinan buat Lee Zii Jia untuk meneruskan kebangkitan di Eropah, namun ujian getir menanti apabila dia bakal berdepan pemain Singapura, Jason Teh pada pusingan pertama Terbuka Hylo, minggu depan.

Pemain perseorangan profesional negara itu dijadual menentang Jason, pemain ranking ke-33 dunia, pada kejohanan berstatus Super 500 di Saarbrucken, Jerman yang berlangsung dari 28 Oktober hingga 1 November ini.

Pertembungan itu menarik perhatian kerana Jason pernah menewaskan Zii Jia yang kini menghuni ranking ke-42 dunia, dalam satu-satunya pertemuan mereka pada pusingan pertama Terbuka Switzerland 2023.

Kekalahan terdahulu itu pastinya menjadi peringatan buat Zii Jia agar tidak memandang mudah cabaran pemain Singapura berkenaan, lebih-lebih lagi ketika dia sedang berusaha membina semula momentum selepas melalui tempoh sukar.