Kuala Lumpur: Persiapan jangka panjang perlu dirangka segera bagi memastikan Malaysia memiliki barisan pemain berkualiti untuk mengharungi kempen kelayakan Piala Dunia 2030 dan Piala Asia 2032, terutama ketika skuad kebangsaan kini semakin berusia.

Penganalisis bola sepak, Datuk Richard Scully berkata, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) perlu berganding bahu membina kumpulan pemain yang lebih mantap berbanding terus bergantung kepada penyelesaian jangka pendek.

Beliau berkata, purata usia skuad kebangsaan yang mencecah 32.5 tahun menjadikan usaha menyediakan pelapis semakin mendesak, sekali gus memerlukan laluan pembangunan yang jelas daripada peringkat remaja hingga ke skuad senior.